PUTRAJAYA: Kerajaan masih mempunyai ruang fiskal walaupun terhad bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi untuk terus membantu rakyat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pengurusan ekonomi negara, seperti yang diperakui agensi-agensi penarafan antarabangsa, masih dalam keadaan yang baik.

"Kerajaan telah membuktikan melalui lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk membelanjakan wang untuk membantu rakyat, membantu kelangsungan perniagaan.

"Kerajaan tidak takut untuk membelanjakan hasil, malah, jika perlu kita akan menambah hutang untuk memastikan kelangsungan ekonomi dan rakyat Malaysia terbela," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.